Sunday, February 21, 2010

Manfaat berjalan kaki

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my


Senaman melangkah laju beri kesan kesihatan serta kecantikan

RAMAI wanita yang beranggapan senaman di gimnasium saja sudah memadai untuk mendapatkan badan yang sihat serta cergas. Tanggapan sedemikian menenggelamkan satu lagi amalan senaman yang bukan saja mudah dibuat, tetapi tidak membabitkan sebarang kos.

Inilah keistimewaan aktiviti atau senaman berjalan kaki laju yang memberi lebih banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan berbanding berjalan kaki secara santai.


Ini bukan sekadar andaian, tetapi terbukti menerusi beberapa kajian termasuk kajian di Belanda membabitkan 5,209 responden dalam tempoh 46 tahun. Hasil kajian yang disiarkan Archives of Internal Medicine mendakwa amalan berjalan kaki 30 minit sehari, dapat menambah kira-kira 1.3 tahun kepada hayat seseorang.


Malah, amalan berjalan kaki laju itu mempunyai sembilan manfaat iaitu:

  • Berat badan stabil

    Amalan berjalan kaki laju juga meningkatkan metabolisma tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang, lebih banyak lagi kalori akan terbakar apabila metabolisma tubuh meningkat sehingga peningkatan berat badan sukar berlaku.

  • Menurunkan berat badan

    Selain mampu menstabilkan berat badan, mereka yang mengalami pertambahan berat badan disarankan supaya melakukan senaman berjalan kaki laju secara rutin.

  • Risiko elak serangan jantung

    Seperti yang kita semua tahu, otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras supaya ia sentiasa berfungsi dengan normal. Justeru, berjalan kaki laju mempercepatkan aliran darah ke dalam koroner jantung.

    Selain itu, kelenturan pembuluh darah menguncup dan mengembang ketika berjalan laju juga cenderung menyebabkan tekanan darah menjadi lebih rendah selain dapat mengurangkan risiko berlakunya darah beku di pembuluh darah ke jantung.

  • Angin ahmar atau strok

    Walaupun masih tiada bukti kukuh mampu mengaitkan senaman berjalan kaki laju dengan strok namun kajian dilakukan terhadap 70,000 pesakit di Sekolah Kesihatan Awam Harvard, Amerika Syarikat, yang sering berjalan kaki iaitu purata 20 jam seminggu, risiko mereka diserang strok menurun sebanyak 2 daripada 3 kes.

  • Mencegah kencing manis

    Dengan membiasakan berjalan kaki laju sekitar 6 kilometer sejam dipercayai mampu mencegah masalah diabetes Tahap 2 terutama di kalangan individu bertubuh gempal. (Sumber: Institut Diabetes dan Masalah Hati Kebangsaan).

    Gula di dalam darah juga dapat dikawal dengan cara berjalan kaki (brisk walking), justeru ubat tidak diperlukan. Ia bermakna, berjalan kaki laju sama manfaatnya dengan mengambil ubat anti diabetes.

  • Mencegah osteoporosis

    Pergerakan badan yang aktif dan berjalan kaki laju boleh memperkuatkan otot badan serta tulang. Individu yang sering melakukan senaman dan cukup sumber kalsium di dalam badan boleh terhindar daripada ancaman kereputan tulang sehingga usia 70 tahun.

  • Meredakan sakit lutut

    Lebih sepertiga mereka yang lanjut usia di Amerika Syarikat mengalami masalah sakit lutut atau osteoarthiris. Dengan membiasakan diri berjalan laju atau berjalan di dalam kolam renang mampu meredakan masalah itu.

    Bagaimanapun, untuk penghidap osteoarthiris, mereka disarankan melakukan senaman berjalan kaki berselang-seli supaya sendi tidak terjejas.

  • Tekanan

    Pergerakan badan terjadi ketika berjalan kaki laju juga sebenarnya dapat membantu pesakit yang mengalami tekanan perasaan. Berjalan kaki laju dapat menggantikan ubat anti tekanan yang harus diambil secara rutin. Kajian terhadap kaitan antara masalah tekanan perasaan dan berjalan kaki sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.

  • Kanser

    Pembunuh nombor satu ini dikatakan mampu dijauhkan jika anda rajin berjalan kaki, setidak-tidaknya kanser usus besar. Seperti yang anda semua maklum, pergerakan badan membantu melancarkan penghadaman usus. Kajian juga ada menyebut mengenai peranan berjalan kaki di dalam mengurangkan risiko terkena kanser payudara.

    Tip jalan laju

  • Pilih kasut yang dapat lindungi dan jadikan kaki selesa

  • Lokasi sesuai seperti tempat atau padang rata

  • Langkah betul - Buat langkah sebesar mungkin bagi pergerakan lebih laju

  • Gerakkan lengan ketika berjalan

  • Sematkan dalam minda yang anda sedang mengejar sesuatu

  • Tingkatkan kelajuan langkah serta tempoh senaman
  • Bengkak ginjal undang maut

    Dari Kosmo Online.

    Seumpama virus, kegagalan buah pinggang boleh berlaku pada bila-bila masa.


    SEPERTI organ lain, pemeriksaan buah pinggang harus dilakukan secara berkala iaitu enam bulan sekali.


    LAZIMNYA, kegagalan fungsi buah pinggang atau ginjal seringkali dikaitkan dengan kencing manis atau tekanan darah tinggi.

    Bagi penyakit radang buah pinggang, ia agak jarang diperkatakan walaupun saban waktu terdapat kes ini.

    Tidak hairanlah jika kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 10 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah kerosakan buah pinggang daripada kategori ringan hingga serius. Malangnya mereka tidak mengetahuinya.




    Turut dikenali sebagai glomerulonephritis (GN), Pakar Runding Nefrologi Pusat Perubatan Ampang Puteri, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamed Zaher menjelaskan ia kerapkali berlaku pada golongan muda.

    “Keradangan ginjal berlaku serta-merta iaitu mengambil masa hanya beberapa hari berbanding kerosakan ginjal yang biasanya memakan masa selama 10 hingga 15 tahun,” kata Zaki.

    Biasanya, penyakit buah pinggang akut disebabkan oleh penyakit yang memberi kesan kepada buah pinggang, aliran darah atau air kencing yang mengalir keluar daripadanya.

    Ujarnya, GN berlaku apabila terdapat kerosakan pada glomeruli iaitu sekumpulan kapilari yang berfungsi sebagai penapis ketika proses menyingkirkan bahan kumuh daripada darah dan masuk ke dalam tubules buah pinggang.

    Perbezaan ketara penyakit ini dengan kegagalan buah pinggang yang lain ialah GN tidak melibatkan faktor makanan serta darah tinggi dan kencing manis.

    Tambahnya, antara tanda awal pesakit menghidap penyakit ini ialah mereka mengalami masalah air kencing yang mengandungi protein.

    Malah panyakit GN lebih bersifat sementara dan boleh hilang dalam jangka waktu tertentu dengan rawatan khas yang diperoleh sejak peringkat awal.

    Mengenai punca penyakit buah pinggang, jelas Zaki, ia tidak selalunya dapat ditentukan. Tetapi sebarang bentuk penyakit yang menjejaskan salur darah atau struktur ginjal yang lain boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

    Rawatan

    “Mereka yang berisiko untuk mendapat penyakit ginjal ini seperti pesakit kencing manis, darah tinggi dan beberapa penyakit lain menjalani ujian setiap enam bulan sekali,” tegasnya.

    Masalah kegagalan buah pinggang hanya dikesan setelah bertahun atau berbelas tahun ia bermula kerana menyerang secara senyap. Semasa diketahui, penyakit itu sudah di peringkat kronik.


    TIDAK banyak pilihan bagi pesakit buah pinggang selain pembedahan transplan atau dialisis sepanjang hidup sekiranya ginjal gagal berfungsi.


    Justeru, hanya dialisis atau pembedahan transplan menjadi pilihan. Namun, sekiranya dikesan awal, ia boleh dirawat menggunakan ubatan tertentu.

    Menurut Zaki, masalah buah pinggang mempunyai kesan berangkai dengan organ-organ lain terutama jantung.

    Walaupun keadaan genetik seseorang turut mempengaruhi kehadiran penyakit ini, perubahan dalam tabiat pemakanan dan gaya hidup boleh menyelamatkan buah pinggang.